Matonism

Matonism

Sunday, 12 June 2016

[ELEPHANT] IN THE ROOM

sini

Aku menulis sesuatu yang dah lama aku simpan dan pendam. Andai saja ini bakal mengundang cemuhan dan kejian, maafkan aku. Andai saja kau tak mampu terima informasi baru, tak perlulah teruskan membaca.

Aku sangat kagum bila tengok progres cyber preachers yang makin lama semakin matang. Makin lama semakin tahu bahawa tugas seorang yang menyeru itu adalah pada menyeru dan bukan menghukum.

Makin peka bahawa ujian kita semua berbeza.
Makin faham bahawa dosa kita tak sama, namun itu tak membuatkan kau ahli syurga dan aku ahli neraka.
Makin tahu bahawa Islam bukanlah medium untuk meraih keuntungan duniawi, bukan jua untuk meraih populariti sendiri.

Sangat mengagumkan dan aku sungguh-sungguh rasa bahawa kita dah capai satu muafakat bahawa aku boleh beritahu sesuatu yang aku sangat yakin ada yang dah tahu dan ada pula yang taknak tahu.

Mungkin ada yang dah pernah dengar satu pepatah inggeris yang berbunyi, "Elephant in the room".

Elephant in the room is an idiomatic expression that may apply to an obvious problem or risk no one wants to discuss.


Sepertimana ada yang diuji dengan harta, wanita dan pangkat, ada juga yang teruji dengan perasaan sendiri.

Selama beberapa belas tahun aku hidup, dah banyak aku menjadi saksi dalam sesi-sesi one to one dengan murabbi, selain daripada aku lihat sendiri banyak yang hadir dan tampil pada para 'agamawan' sama ada melalui media sosial atau berdepan, bahawa ada yang minta nasihat untuk orang yang tak pernah solat, nasihat untuk orang yang nak berhenti minum arak mahupun merokok, nasihat tentang cinta sebelum nikah, nasihat tentang cara menjaga mata dan nafsu, nasihat tentang itu dan ini. Pendek kata, punya banyak dosa dan rahsia yang mereka kongsi atas harapan mereka akan dibantu sampai kita-kita yang lagaknya pendakwah muda, fresh lagi bersih boleh guna prinsip ni, 'seribu satu dosa-dosamu, aku takkan judge. Kerana aku pendakwah, aku menyeru bukan menghukum. Aku hanya menyeru dan tugas syurga atau neraka itu biarlah Allah saja yang tentukan.'

Tapi ada satu perkara yang sangat jarang orang kongsi adalah bila ia melibatkan sesuatu yang taboo, yang sepertinya lebih memalukan dan lebih menghinakan daripada segala jenis dosa dalam dunia, yang terus dipulaukan dan dibiar sendirian sedangkan sering dibicarakan di mana-mana.

"Akhi, tolong aku, aku..."

"Enta kenapa?"

"Aku..."

"Apa dia, enta cakaplah. InsyaAllah ana akan tolong selagi mampu."

"Okey, tapi benda ni private sikit."


"Jangan risau. Kita kan dah janji nak masuk syurga sama-sama?"

"Macam ni... Aku sebenarnya."


Kau cuba bayang rasa dia bila nak buat pengakuan tentang satu perkara yang dah lebih satu dekad kau simpan sendiri.

"Aku gay."

You know what happened next? Beliau akan diamkan diri. Mungkin terkejut, mungkin entahlah.
Apatah lagi bila yang mengaku itu seorang penghafaz Al Quran tiga puluh juzuk, yang mengaku itu rupanya nampak suci dan baik walaupun sering digelar pretty boy sejak kecil. Tambah yang mengaku itu orang yang selalu bagi tazkirah-tazkirah dalam usrah, selalu diminta untuk jadi imam solat jemaah tak kira waktu.

[Diskleimer]

Ini bukan entri tentang Budak Tomato so bolehlah tenang-tenang. Sekalipun tentang beliau, mohon lagi sekali bertenang.

Dan untuk murabbi yang setia membantu, untuk bekas ketua usrah sewaktu di bangku sekolah dulu, moga entri ni menjadi sedikit sebanyak, sebagai pengubat rindu pada aku yang dah tak ikut usrah dan telah pun menjauh berjuta langkah dari kalian, yang dah menyepi tanpa khabar (walaupun aku tahu segala catatan, tweet, tulisan aku masih terus kalian baca)



Lalu yang pada awalnya minta untuk ditolong, kau menjauh. Bukan apa, kau takut dia jatuh hati pada kau pulak! Padahal bila nak minta tolong dengan yang berlawanan jantina, nanti berderu lah teguran para 'penyebar risalah' ni kata "Eh sengaja lah tu nak minta tolong dengan yang berlainan jantina!" "Dah takde lelaki lain dalam dunia yang soleh yang kau boleh minta tolong?" "Cara baru nak rapat dengan akhawat ke?" dan banyak lagi.

Jangan risau, tak semua pendakwah begitu. Aku yakin.

Tak kurang juga yang mempersoal, "Kenapa kau pilih jalan hidup begitu?"

"Kenapa kau tak berubah je?"

"Ramai kot perempuan dalam dunia, cari jelah yang kau suka."

"Kau tak pernah dengar pasal kaum Nabi Luth ke?"

Itu tak kira berjuta jenis cacian dan makian. Itu belum masuk yang terus automatik pandang hina. Itu tak kurang juga pada yang suruh orang lain berhati-hati bila duduk sekali dengan orang yang diuji begini.


Bagi hujah agama, keluarkan semua ayat Quran bahawa Allah laknat orang-orang yang begini.

Aku tak menyokong, tak pula menolak. Ada manusia yang dalam hidupnya, Allah uji untuk lebih ke arah gender sendiri. Sepertimana ada yang Allah uji tak mampu bendung perasaannya pada wanita-wanita, sepertimana ada yang Allah uji tak mampu tinggalkan rokok dan dadah, sepertimana Allah uji untuk merasakan diri mulia hanya kerana cebisan-cebisan ilmu agama di dada.


Nak kira kawan aku yang diuji begini rasanya lebih banyak daripada jari untuk dihitung, tak cukup dengan jari jemari tangan dan kaki aku, digabungkan dengan jari teman-teman juga masih banyak lagi bilangannya.

Satu hari kawan rapat aku yang pada aku hantar gambar ni pada aku, gambar yang beliau dapat daripada buku Tarbiah Sentap, dan mulai saat itu, massive respect untuk penulis tarbiah sentap yang satu itu, sebab membuat keyakinan aku berganda, bahawa masih ada lagi pendakwah alaf baru yang memahami.


Aku yakin, Allah tak menghukum kita kerana perasaan kita. Sepertimana ada yang benar-benar cuba mengawal dan melawan rasa untuk bercinta sebelum nikah. Aku yakin, Allah tak zalim untuk menghumban seseorang ke dalam neraka hanya kerana mereka tertakdir untuk punya 'rasa'.

Walaupun ramai yang datang pada aku dan kata, "Kau hafaz Quran, takkan kau tak pernah baca pasal kisah Nabi Luth?"

Tak kurang juga ramai yang hilang tsiqah pada aku kerana pernah membangkitkan isu ini. 

Tapi aku masih kurang faham, sedangkan tertulis di banyak halaman bahawa yang Allah benci itu pada yang namanya PERBUATAN dan bukan pula PERASAAN.

Tapi yang kita faham, untuk merasa sebegitu saja sudah terus digelar bakal ahli neraka, tak takut neraka, kebal neraka dan sejuta satu lagi tuduhan nista dan jijik yang kau lontarkan pada yang merasa.

Moga-moga, amalan rahsia yang kau lakukan saban malam tu mampu selamatkan kau dari neraka akibat mulut kau yang boleh tahan jugak power dia.



Untuk yang diuji sebegini, aku tahu sukarnya untuk berubah. Sepertimana tak mudah untuk melakukan apa-apa jenis perubahan dalam dunia.

Kau tak keseorangan, tapi tak pula bermakna kau akhirnya bebas melakukan sesuka hati. Tak sama sekali.

Ambil iktibar dari kisah kaum Nabi Luth. Fokuskan pada mengabdi diri pada Allah. Tak perlu dilayan perasaan-perasaan begitu. Tak perlu kau luah pada sesiapa melainkan Allah, sebab dunia ni dah cukup hina dan ditambah dengan penghinaan yang bakal kau terima jika kau luahkan.

Kalau tak mampu ubah perasaan sendiri, teruskan ibadah-ibadah lain, teruskan hidup dalam ketaatan. Teruskan berdoa agar diberi hidayah dan dimudahkan urusan.

Untuk murabbi yang aku pernah tinggalkan, moga-moga luahan aku ni sedikit sebanyak menggaris sebab untuk kenapa aku pergi. Terima kasih kerana terus berpegang pada janji, yang masih sudi mendoakan dan turut bantu walaupun pada hakikatnya aku sendiri tawar hati.

Sekian.

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...