Rupanya dah terlalu lama aku pendam perasaan. Terlalu lama aku biar dipijak, digunakan. Terlalu lama aku simpan kesakitan. Luka, koyak, pecah, retak semua aku tutup dengan lapis-lapis penafian. Aku anggap ditolak, dimaki, dihina, dicaci itu semua biasa. Sebab dah terlalu lama aku biar orang gunakan aku, cuma sebab aku nak diterima. Sedangkan manusia sifatnya tak pernah puas. Kejayaan langsung tak dikenang, kesilapan lama ditayang-tayang.
Malam terakhir tahun 2020, aku duduk termenung mengenang nasib setahun yang telah berlalu. Untuk yang tak tahu, tahun 2019 aku berazam untuk lebih mencintai diri sendiri. Tapi penghujung tahun 2019 sangat pahit untuk ditelan, sudah jatuh tambah pula ditimpa tangga.
Rupanya benar kata orang tua-tua, sungguh yang pahit itulah ubat. Sedang yang manis belum tentu sihat dan selamat. Aku belajar melepaskan, dan aku belajar untuk terima bahawa takdir kisah cinta aku penghujungnya bukan pada alam perkahwinan. Benda yang paling aku risaukan akhirnya jadi kenyataan. Mungkin pedih itulah yang mendewasakan. Akhirnya pada awal tahun 2020, aku pilih untuk bawa diri jauh. Aku pilih untuk mulakan yang baru. Aku pilih untuk langsung tidak ungkit, atau marah. Mulanya dari situ, aku menyambung azam tahun baru untuk berkata-kata yang baik sahaja ataupun diam.
Awalnya susah. Apa saja dalam dunia ni, tak ada permulaan yang mudah. Apatah lagi untuk memulakan semula selepas kau dah jatuh terduduk di bawah.
Ada perkara, kita dimatangkan oleh pengalaman. Ada masa, kita dimatangkan oleh ilmu.
Indahnya malam kerana bulan, indahnya hidup kerana tuhan. Malam ini, genap setahun selepas luka lama aku rawat. Ditemani sayup-sayup bunyi angin dan hujan, aku baca semula tulisan-tulisan aku dulu, yang jauh lebih cantik bahasanya, jauh lebih tulus isinya.
Genap juga 10 tahun aku berada di dunia papan kekunci dan skrin, dibelakang topeng manusia tanpa nama. Banyak yang telah berlaku, jatuh bangun, tangis tawa. Untuk tahun kesepuluh, aku cuma berharap aku lebih banyak merefleksi diri. Kerana apa aku menulis, sebab dulu aku cuma tulis untuk berkongsi rasa. Semenjak terbit buku, sana sini aku ditekan. Semenjak terbit buku juga, aku hilang kawan yang dulunya jadi tempat aku berkongsi cerita. Semuanya kerana nama.
Itu cerita dulu, semoga dia terus berada dalam lindungan tuhan dan digandakan kejayaan.
Sekarang aku berkenalan dengan orang-orang baru, dan aku mulakan semula hidup baru. Aku disayangi oleh orang yang tahu menghargai. Aku dikelilingi dengan orang yang peduli. Aku mula faham, yang persahabatan itu tak akan bersulam umpat dan hasad. Aku belajar untuk melepaskan apa yang diluar kawalan - seperti perasaan dan kata-kata orang.
Aku belajar menghargai, walau cuma ada sesaat saja, aku akan pastikan itu adalah satu saat yang terindah untuk dikenang.
Terus, 2020 memberi makna baru dalam hidup aku. Memberi peluang untuk aku terus belajar dan perbaiki diri.
Mungkin dalam masa terdekat, aku cuma akan tulis di sini, dan juga satu buku dalam bentuk ebook nanti. Itu saja.
Terima kasih sebab sudi peduli, terima kasih sebab tak jemu merai. Semoga tuhan limpahkan bahagia pada semua yang membaca. Aku setuju, aku juga rindu aku yang dulu. Aku yang belum dilukakan dan digunakan. Aku yang cuma mahu menulis untuk berkongsi.
Salam sayang,
Mato.